Foto Instagram Boss_Ned

KUALA LUMPUR –  Gara-gara memuat naik foto mesra yang sedang bercuti di Pulau Langkawi, Kedah, pelakon Nora Danish dan suami, Nedim Nazri menjadi kritikan netizen yang kurang senang dengan tindakan mereka.

Namun Nedim yang lebih dikenali BossNed tampil membalas komen bagi mempertahankan kehidupan bersama Nora.

Secara terbuka, anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia ini menasihati mereka agar membuang sifat dengki dalam diri sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan.

“Dunia ini ibarat roda, jangan terlalu taksub cari salah orang lain, cermin diri, jadi lebih baik daripada anda hari ini,” antara tulis Nedim di laman sosial Instagram miliknya.

Pada masa sama, Nedim turut mendedahkan rahsia memiliki kulit licin dengan memberi cadangan agar netizen pergi ke pusat kecantikan dan meminta mereka menyebut namanya untuk mendapatkan potongan harga.

“Saya punya muka licin pasal pergi ke MyClinic dekat Damansara, cuba la mungkin bila awak dah hilang jerawat boleh lihat muka sendiri di cermin dengan selesa.

“Cakap nama saya, awak akan dapat diskaun Insya-Allah,” ujarnya.

Nedim dan Nora berkahwin pada 30 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Glasshouse at Seputeh, Petaling Jaya. – MalaysiaGazette