TEHRAN – Korea Selatan dan Arab Saudi mengisi dua slot automatik terakhir Piala Dunia bagi mengiringi Jepun dan Iran manakala Syria menghidupkan harapan untuk bermain dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia itu untuk julung-julung kali.

Australia yang merupakan juara Asia akan berdepan Syria dalam perlawanan kalah mati selepas kedua-dua pasukan terlepas peluang melayakkan diri secara automatik pada  peringkat kumpulan Asia yang tamat awal pagi tadi.

Kumpulan B menyaksikan Australia menang tipis 2-1 ke atas Thailand. Australia yang memerlukan jaringan besar bagi menghampakan Arab Saudi bagaimanapun terlepas banyak peluang ketika bertembung dengan pasukan yang lebih lemah.

Keputusan tersebut memudahkan tugas Arab Saudi yang hanya perlu menang ke atas Jepun dengan satu gol. Fahad Al Muwallad meledakkan rembatan ke arah bucu kanan gol lawan pada minit ke-63 bagi memastikan kemenangan berpihak kepada negaranya yang akan berentap pada Piala Dunia untuk pertama kali sejak 2006.

Pemain Arab Saudi mula meraikan kemenangan itu dengan mengangkat antara satu sama lain dan memeluk jurulatih warga Belanda, Bert van Marwijk selain memainkan muzik tradisional Arab sebaik sahaja wisel penamat dituipkan.

Australia mengekalkan rekod tanpa kalah pada pusingan kelayakan ini sehingga dikecewakan Jepun pada minggu lalu, membolehkan Jepun menerajui kumpulan B dan menempah tiket ke Rusia pada tahun depan.

Tomi Juric membuka jaringan untuk Australia pada minit ke-69 apabila menanduk bola hantaran lintang Aaron Mooy.

Pokklaw Anan menyamakan kedudukan untuk Thailand pada minit ke-82 namun Mathew Leckie memastikan Australia menang perlawanan itu pada minit ke-86 menerusi rembatan kaki kiri pada jarak dekat selepas Sinthaweechai Hathairattanakool gagal menumbuk kemas bola untuk mengeluarkannya dari kawasan bahaya. Thailand menduduki tangga tercorot dalam kumpulan itu dengan dua mata.

Dalam kumpulan A, Korea Selatan terikat 0-0 dengan Uzbekistan bagi menempah tiket secara automatik dan memintas Syria selain menjadi pasukan Asia yang beraksi sebanyak sembilan kali berturut-turut pada Piala Dunia sejak 1986.

Korea Selatan nyaris mendapat gol pendahuluan apabila percubaan mereka terkena palang sebanyak dua kali pada separuh masa pertama namun menghadapi saat-saat cemas semasa bertemu Uzbekistan yang turut berpeluang untuk beraksi dalam Piala Dunia untuk pertama kali.

Beberapa pemain Korea Selatan yang berasa lega rebah ke bumi apabila pengadil meniupkan wisel dan pemain mula meraikan kejayaan mereka. Korea Selatan memulakakn kempen dengan tidak bermaya apabila tumpas di tangan Qatar dan China.

Walaupun berhadapan dengan perang, Syria semakin menghampiri aksi Piala Dunia untuk kali pertama dan mungkin dapat melakukannya jika ia berjaya mempertahankan kedudukan 1-0 ketika bertemu Iran, yang telahpun layak sebagai pemenang kumpulan.

Tandukan Tamer Mohamed pada minit ke-13 meletakkan Syria di hadapan namun Iran bertindak balas bagi menunjukkan mengapa mereka tidak pernah kalah dalam perlawanan kompetitif untuk tempoh tiga tahun.

Jaringan Sardar Azmoun pada minit-minit terakhir separuh masa pertama membolehkan Iran menyamakan kedudukan dan pemain itu sekali lagi menggegarkan jaring dengan rembatan jarak dekat pada minit ke-64 untuk membolehkan Iran mendahului apabila pemain Syria gagal mengeluarkan bola lontaran jarak jauh dari kawasan bahaya.

Syria menyamakan kedudukan 2-2 pada lewat permainan menerusi Omar Al Soma apabila bola tendangannya melepasi celah kaki penjaga gol, Alireza Salimi.

Pemenang pelawanan kalah mati timbal balik antara Australia dan Syria akan bertemu pasukan CONCACAF yang meliputi Amerika Utara dan Amerika Tengah serta Caribbean untuk satu slot pada Piala Dunia.

Konflik di Syria merupakan halangan kepada pasukan itu. Pasukan itu terpaksa bermain di Malaysia sebelum ini. Bagaimananpun, ia masih mampu menunjukkan aksi yang baik terhadap beberapa pasukan terbaik Asia, dengan mengikat Korea Selatan dan Iran pada perlawanan kelayakan sebelum ini. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast