KUALA LUMPUR – Filem Abang Long Fadil 2 terus menjadi fenomena apabila mencatat kutipan RM13 juta sepanjang 13 hari ditayangkan sejak 24 Ogos lalu.

Filem arahan Syafiq Yusof itu menjadi pilihan penonton dan kutipan tiket semakin melonjak berikutan cuti umum dan mingguan yang panjang minggu lalu.

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, pihaknya tidak menjangka kutipan sebesar itu berdasarkan sambutan beberapa filem tempatan yang ditayangkan sebelum ini.

Filem itu mencatat kutipan RM5 juta selepas lima hari ditayangkan yang menyaksikan purata kutipan filem ini RM1 juta untuk sehari.

Sebelumnya rakaman penuh filem Abang Long Fadil 2 dimuat naik individu tidak bertanggungjawab di YouTube sebelum pihak penerbitan membuat laporan polis dan aduan kepada pihak YouTube.

Abang Long Fadil 2 dibintangi Zizan Razak, Datuk AC Mizal, Syamsul Yusof, Wak Doyok, Achey, Tania Hudson, A Galak dan Shuib. – MalaysiaGazette