MANCHESTER – Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah mengesahkan Manchester United telah menarik balik rayuan mereka terhadap penggantungan Phil Jones.

Ini bermakna pemain bek tengah itu akan terlepas perlawanan pembukaan Liga Juara Juara Eropah menentang Basel.

Menurut laporan, Jose Mourinho tidak berdepan masalah mengenai penggantungan itu kerana dia masih mempunyai Victor Lindelof untuk digandingkan bersama Chris Smalling.

Jones atau nama penuhnya, Philip Anthony Jones telah didakwa menghina dan mengeluarkan bahasa kasar ke arah Pegawai Kawalan Doping dan juga tidak memberi kerjasama dan menghormati prosedur kawalan doping.

Jones turut didenda €5,000.

Daley Blind juga didakwa atas pelanggaran dan ketidakpatuhan terhadap Perkara 6.05 (a) Peraturan Anti-Doping UEFA, yang menyatakan bahawa setiap pemain yang ditetapkan untuk menjalani kawalan doping bertanggungjawab secara peribadi untuk melaporkan segera ke stesen kawalan doping seperti diberitahu.

Namun, Blind hanya didenda €5,000 dan tidak digantung. – MalaysiaGazette