Nurulhidayah buat pengakuan bermadu

KUALA LUMPUR – “Kak, maafkan Nurul sebab berkawan dengan suami akak (walaupun ketika itu saya dan suami tidak dikategorikan sebagai bercinta atau tidak bercinta lagi.

Demikian pengakuan Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berhubung statusnya sebagai isteri kedua kepada seorang ahli perniagaan, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.

Beliau yang mendedahkan perkara itu melalui Instagramnya memberitahu, tidak semua perempuan bernasib baik sepertinya kerana dapat berkongsi kasih dengan madunya.

“Ini adalah salah satu memori yang kami rakamkan selepas selesai acara akad nikah saya dan suami, yang pada mulanya untuk simpanan peribadi kerana takut disalah mengertikan tentang perkongsian berpoligami.

“Alhamdulillah, saya dijodohkan dengan madu atau kakak yang ikhlas dan memahami dan kakak juga bersyukur akan jodohnya dengan saya yang ‘sekepala’ dengannya.

“Percaturan Allah sangat hebat..! Sebenarnya peranan suami dalam mendidik isteri amat besar, begitu juga pengalaman diri dan latarbelakang keluarga. Tak sabar rasanya untuk saya berkongsi perjalanan hidup saya yang mengubah persepsi dalam berkongsi kasih ini,” katanya.

Pada 20 Jun lalu, Nurulhidayah dan Saiful Nizam selamat diijabkabulkan di Masjidil Haram, Mekah.

Menurut Nurulhidayah, apabila beliau sendiri melayari bahtera rumah tangga itu bersama suami dan kakak, tidak tercapai dek akal atau tidak pernah terlintas bahawa dia mampu membawa diri dan kasih sayang sejauh ini.

“Sedikit perkongsian yang saya tidak pernah dedahkan… Perkara pertama atau ayat pertama yang keluar dai mulut saya bila pertama kali berjumpa kakak…

“Ikhlasnya, suami memberitahu kakak niat untuk memperisterikan saya dan murninya kakak menerima pelawaan saya untuk berjumpa empat mata pada ketika itu,” katanya.

Nurulhidayah, anak sulung kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah berkongsi gambar dan kapsyen syukur bersama madunya di laman Instagramnya baru-baru ini.

Menerusi kapsyennya di IG itu, Nurulhidayah menulis dirinya sangat bertuah kerana kini merasai kemanisan berkongsi suami bersama madunya yang dikenali sebagai Cik Ana yang didakwa sangat baik hati, sanggup menerima dirinya, memahami dan ‘sekepala’.

Biarpun berkongsi kasih namun, dia amat bersyukur dengan apa yang dijalaninya selama hari ini sejak bermadu selama beberapa bulan yang lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast