Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Sabah yakin dapat mengekalkan 22 kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Menurut pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili, keyakinan itu dizahirkan selepas melihat kesepaduan komponen BN di negeri itu menjelang PRU-14 akan datang.

Ini termasuk kerusi Parlimen Semporna yang dimiliki bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

“Kami (komponen BN di Sabah) sememangnya konfiden untuk terus kekal di Sabah. Kami percaya bilangan kerusi yang kami ada di sana akan terus kekal begitu.

“Sebelum ini kami ada 22 kerusi daripada 25 kerusi parlimen. Jadi nak kekalkan BN dalam Sabah tidak begitu sukar,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Maximus berkata demikian memberikan reaksi terhadap ramalan Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) bahawa BN akan diundi keluar dari negeri itu dalam PRU-14 kelak.

Shafie pada April lalu berkata, penduduk Sabah sudah membuat keputusan mereka dan bersedia untuk perubahan kerajaan.

Katanya, UMNO Sabah akan mengikuti jejak langkah Pertubuhan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan Berjaya iaitu dua parti pemerintah yang diundi keluar rakyat.

Mengulas mengenai itu, Maximus berkata PBS selaku salah satu komponen parti BN sudah bersedia untuk menghadapi PRU-14 pada bila-bila masa.

“Kami telah diarahkan untuk bersiap sedia. Kami harap boleh kekalkan semua kerusi yang BN menang pada PRU-13 lalu.

“Kita kena kerja kuat lagi disebabkan pembangkang kini mempunyai lebih banyak parti, itu faktor tambahan kepada BN (untuk kekal di Sabah),” katanya lagi.

Untuk rekod, BN mempunyai 21 kerusi (satu milik Shafie Apdal) berbanding Pakatan Harapan (PH) dua kerusi, dan Warisan dua kerusi. -MalaysiaGazette