Home Dunia Bayi usia sebulan cabut 7 batang gigi

Bayi usia sebulan cabut 7 batang gigi

Bayi ini terpaksa menjalani dua peringkat bagi mencabut tujuh batang giginya. foto BBC

GUJARAT – Baru berusia sebulan tetapi seorang bayi sudah memiliki tujuh batang gigi.

Bagaimanapun, sekumpulan doktor di Gujarat terpaksa membuang kesemua giginya kerana bayi berkenaan mengalami kesukaran untuk menyusu badan.

“Bayi itu semakin baik sekarang,” kata pakar pergigian, Dr. Meet Ramatri yang mengetuai pembedahan tersebut.

Katanya, prosedur menanggalkan gigi bayi itu dilakukan dua peringkat. Peringkat pertama membuang empat gigi dan kemudian baki tiga batang gigi lagi.

Gigi bayi itu dikesan beberapa hari selepas kelahirannya.

Ibu bapa bayi tersebut terpaksa merujuk anak mereka ke paediatrik kerana ia sukar menyusu.

Selepas diperiksa, doktor berkenaan menemui tisu putih dalam mulut bayi dan kemudian dirujuk kepada Dr. Ramatri.

“Selepas diperiksa saya menemui dia mempunyai tujuh batang gigi. Kadang-kadang kita akan menemui tanda ada gigi pada bayi baru lahir tetapi ia tidak tumbuh. Tetapi dalam kes ini giginya betul-betul keluar.

Dr. Ramatri berkata, ia adalah proses biologikal yang normal dan pernah berlaku,” ujarnya.

Tambahnya, bayi itu kini boleh menyusu dengan baik. – MalaysiaGazette