Pengerusi Gabungan NGO Negeri Selangor, Datuk Seri Jamal Yunos bercakap kepada media selepas selesai membuat laporan mengenai Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraidah susulan daripada penahanan SPRM terhadap Datuk Adam Rosly yang mempunyai kekayaan luar biasa di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 APRIL 2017.

AMPANG – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali kerana akhirnya berjaya membentuk Pakatan Harapan Selangor.

Namun, melihat kepada nisbah jawatan dalam pakatan tersebut, ia ibarat sebuah pasukan bola sepak yang bakal gagal dalam saingan liga politik negeri itu menjelang PRU ke-14 yang akan datang.

Ia berikutan keadaan Azmin yang dilihat terdesak dalam membuat keputusan untuk menubuhkan pakatan tersebut sehingga terpaksa menyediakan empat slot untuk jawatan timbalan.

“Tahniah kepada MB Selangor kerana tubuhkan Pakatan Harapan di Selangor. Lihat pecahan 4;3;3;2 ini, saya yakin ini ibarat satu pasukan bola sepak yang mahu bertanding dalam liga politik di PRU akan datang.

“Lihat senarai yang dilantik ini, peluang untuk mereka menjaringkan gol, amatlah tipis sekali. Tahniah, sehingga melantik empat timbalan seolah-oleh menteri besar ini memerlukan ramai timbalan untuk menjaringkan gol.

“Sepatutnya lantiklah ramai lagi timbalan, lapan orang misalnya untuk menjaringkan gol,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, perlantikan Zuraidah Kamaruddin sebagai Setiausaha Pakatan Harapan Selangor juga dilihat bakal merosakkan organisasi itu sendiri.

Menurut Jamal, ia berikutan pelbagai kontrovesi dan skandal yang melanda Ahli Parlimen Ampang itu yang turut melibatkan suaminya, dan ‘anak muridnya’ Adam Rosly sebelum ini.

“Perlantikan Zuraidah sebagai Setiausaha Harapan Selangor ini kita lihatlah sama ada dia boleh menjaringkan gol nanti,” katanya.

Tambah Jamal, penubuhan pakatan ini juga membuktikan bahawa Tun Mahathir Mohamad hanya dipermainkan oleh Azmin, selain kumpulan penyokong Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dipinggirkan daripada kepimpinan pakatan tersebut.

“Gabungan Harapan ini juga kita lihat satu pembentukan kumpulan kroni-kroni Azmin. Mana dia daripada kumpulan presiden, Wan Azizah dan Rafizi? Jadi saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Azmin sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

“Bagi saya, parti Tun Mahathir ini cuma pemain simpanan sahaja kalau dalam pasukan bola sepak. Ini menunjukkan Azmin lebih bijak daripada Tun Mahathir.” -MalaysiaGazette