Pengerusi Persatuan Penduduk Zon ABC Taman Melawati, Razman Hakimi Abdullah bercakap pada sidang media mengenai bantahan pembinaan pusat konvensyen di sebelah Melawati Mall. foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2017

AMPANG – Setelah berdepan dengan kesukaran untuk memperjuangkan hak sebagai penduduk, Persatuan Penduduk Zon ABC Taman Melawati akan menghantar petisyen bantahan projek pembangunan pusat konvensyen.

Pengerusi persatuan itu, Razman Hakimi Abdullah dalam sidang media di ibu negara memberitahu, sebelum ini penduduk dijanjikan pembinaan taman rekreasi oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Pembinaan taman itu dilihat penduduk sebagai keperluan kerana kawasan Taman Melawati tidak mempunyai sebarang taman.

Justeru pembinaan taman di sebelah pusat membeli-belah Melawati Mall menjadi idaman penduduk setempat.

Namun impian mereka untuk melihat taman itu direalisasikan musnah pada 18 Mei lalu, apabila mereka menerima notis pembinaan taman itu bertukar menjadi pusat konvensyen.

“Kami tak mahu pusat konvensyen sebab kami perlukan taman bagi anak-anak kami bermain dan beriadah. Sudah terlalu banyak pembangunan di sekitar kawasan ini sehingga mengabaikan hak kami,” kata Razman.

Razman menjelaskan, melalui notis yang dikeluarkan MPAJ itu, taman akan dipindahkan ke lokasi baru kira-kira satu kilometer dari lokasi asal.

Namun butiran lengkap pembinaan taman baru tidak dinyatakan.

“Kami sudah berjumpa dalam satu mesyuarat bersama Yang Dipertua MPAJ dan Sime Darby (pemilik tanah), namun mereka memberitahu kami tiada bantahan dari pihak penduduk maka projek akan diteruskan.

“Bagaimana mereka kata tiada bantahan sedangkan saya datang sebagai wakil penduduk untuk mengemukakan bantahan,” terang Razman.

Razman yang telah menetap di kawasan itu selama 16 tahun berkata, dia dan penduduk di situ akan menghantar petisyen bantahan terhadap projek di atas tanah seluas 3.37 ekar itu.

“Petisyen akan dihantar kepada Azmin Ali selaku menteri besar, Saari Sungib selaku ADUN Hulu Klang dan Abdul Hamid Hussain selaku Yang Dipertua MPAJ

“Dalam petisyen itu kami akan kemukakan bantahan dan komen-komen penduduk,” tambahnya lagi.

Razman menjelaskan sekiranya langkah itu tidak berkesan, pihaknya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette