Rafael Nadal yakin menangkis cabaran Anderson pada aksi pusingan akhir untuk merangkul gelaran Terbuka AS kali ini. SkySports

NEW YORK – Jaguh tenis dunia, Rafael Nadal menyasarkan gelaran ketiga Terbuka Amerika Syarikat apabila berdepan Kevin Anderson pada pusingan akhir nanti.

Pemain nombor satu dunia itu juga berikrar untuk berjuang sehingga saat akhir untuk merangkul gelaran berprestij itu walaupun menyedari dirinya sudah berusia pada segi fizikal tetapi ada kelebihan daripada aspek mental dan pengalaman.

Jaguh kelahiran Sepanyol itu menjadi pilihan untuk menewaskan Anderson dan merangkul gelaran utama itu.

Menjelang aksi final ke-23 dalam kariernya, Nadal yang juga juara bertahan Terbuka AS 2010 dan 2013 berkata; “Bagi saya, apa yang penting daripada menang gelaran ialah sentiasa gembira.

“Saya akan gembira jika sentiasa sihat dan kompetitif dalam setiap perlawanan dan itulah yang anda saksikan tahun ini.

“Saya juga teruja merangkul gelaran Terbuka Monte Carlo, Barcelona, Madrid dan Roland Garros dan kini gembira pada final Terbuka AS.

“Sememangnya menang atau kalah pada final adalah perubahan besar sukar dijangka, tetapi saya gembira dengan perubahan ini dan akan berjuang untuk menang gelaran ini,” katanya.

Anderson dijangka tidak akan memberi laluan mudah kepada Rafael Nadal pada pusingan akhir Terbuka AS nanti.

Anderson yang kali pertama bakal beraksi pada final di AS menjangkakan pertemuan dengan jaguh berpengalaman Nadal adalah suatu ujian maut.

“Dia pemain yang hebat dengan aksi yang luar biasa. Saya kenalinya sejak 12 tahun lalu dan gembira akan berdepan untuk merebut gelaran Terbuka AS kali ini.

“Saya bekerja keras untuk sampai ke tahapo ini dan menantikan aksi penting itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast