Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu pemimpin dan ahli-ahli Pas bertaubat.

Pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu mendakwa ahli-ahli Pas turut menanggung ‘dosa-dosa’ yang dibuat pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Sesungguhnya mengundi Pas adalah sama dengan mengundi BN dan mendokong perbuatan jenayah, rasuah dan mencuri yang diamal oleh BN pimpinan Najib,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mahathir, ahli-ahli yang membuat bai’ah kepada kepimpinan Pas dan taksub dengan parti, memecah-belah orang Melayu kerana kononnya penentang parti Pas adalah kafir dan berlawan dengan mereka adalah jihad.

“Penyokong fanatik parti Pas ini perlu bertaubat kerana mereka mengikuti ajaran Pas yang bertentangan dengan ajaran agama Islam bahawa orang Islam itu bersaudara.

“Tiada ada siapa yang boleh kafirkan orang Islam kerana kelainan politik. Hentilah sembahyang dua imam yang masih dilakukan di Terengganu,” ujarnya.

Menurut Mahathir, bagi Pas yang penting ialah permusuhannya dengan Parti Amanah Negara dan DAP.

“Bagi Pas partinya lebih utama dari segala-galanya. Kalah pun tidak mengapa asalkan Pas bertanding,” jelasnya.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa kemenangan Pas selama ini bukan diraih berseorangan namun ia hasil kerjasama dengan parti lain.- MalaysiaGazette