PETALING JAYA – Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) mensasarkan jualan sehingga RM300 juta pada siri kedua karnival perumahan mampu milik, Malaysia Property Exposition (Mapex) yang akan diadakan pada 13 hingga 15 Oktober ini.

Pengerusi Mapex 2017, Datuk Ng Seing Liong berkata, sasaran jualan itu menurun berbanding sebelum ini kerana jumlah pemaju yang menyertainya karnival ini menurun.

Jelas beliau, keadaan itu berlaku adalah selari dengan situasi ekonomi semasa, selain institusi kewangan yang tidak memberi pembiayaan kredit yang secukupnya.

Karnival kali ini akan disertai oleh 33 pemaju termasuk UEM Sunrise, Gamuda Land, IJM Land dan UDA Holdings Berhad.

Meskipun hanya 60 peratus penyertaan bagi penganjuran itu, REDHA mengunjurkan karnival itu akan menyaksikan kehadiran 50,000 orang pengunjung.

Ng menambah, Maybank dan Hong Leong – dua buah institusi bank yang akan menyertai karnival ini bagi membantu pembeli berpotensi dalam pembelian rumah.

Lantaran itu, beliau meminta lebih banyak institusi kewangan mengambil bahagian kerana aspek pembiayaan merupakan perkara penting dalam pembelian rumah. – MalaysiaGazette