Suasana di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan kaum keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat. foto IQBAL BASRI, 15 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Solat jenazah ke atas semua 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dijangka dilangsungkan di Masjid Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebaik sahaja proses padanan DNA selesai hari ini.

Menurut sumber HKL, persiapan kini berlangsung bagi membolehkan pengurusan jenazah berjalan lancar termasuk membawa jenazah ke tanah perkuburan selepas proses DNA untuk pengesahan identiti mangsa selesai di hospital itu, dijangka petang ini.

Sumber itu berkata semua jenazah mangsa akan dimandikan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) menggunakan kaedah tayamum dan dikafankan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Sementara itu kesemua 23 van jenazah yang akan membawa jenazah mangsa ke lokasi pengebumian telah tiba di perkarangan IPFN.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata 12 daripada 23 mangsa kebakaran akan disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, di sini.

Dalam kejadian 5.15 pagi semalam, 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran yang memusnahkan seluruh tingkat paling atas bangunan pusat tahfiz tiga tingkat di Jalan Keramat Hujung berkenaan.

Enam pelajar lain dan seorang awam turut cedera.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast