Ahmad Awang

KUALA LUMPUR – Penasihat Umum Parti Amanah Negara (PAN), Ahmad Awang membidas usaha pihak tertentu mahu menganjurkan pesta arak di negara ini yang mana majoriti rakyatnya beragama Islam.

“Sebab arak diharamkan dalam Islam adalah kerana ia memabukkan dan merosakkan akal. Pengharaman ini jelas mempunyai asas yang tepat untuk merasionalkan manusia mengenai keburukan arak.

“Seseorang yang telah mabuk akan hilang kewarasan akal untuk berfikir dan boleh bertindak di luar keterbatasan,” katanya menerusi tulisan di Facebook.

Beliau mengulas mengenai permohonan untuk menganjurkan pesta arak Better Beer Festival 2017 ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

Jabatan Perancangan Korporat dipetik berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika pesta yang akan diadakan pada 6 dan 7 Oktober depan di Solaris Damansara itu diteruskan.

Ini ekoran penganjuran pesta arak itu dibantah oleh Pas yang menyifatkan festival berkenaan boleh mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.

Namun, ia dipertahankan oleh DAP yang mendakwa pesta itu tidak menyalahi undang-udang dan bebas dianjurkan di negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Dalam pertikaian itu Ahmad berkata, walaupun dalam konteks kenegaraan turut dianggotai oleh orang bukan Islam, mereka tidak dihalang untuk meminum arak selagi tidak merosakkan pihak lain.

“Mereka berhak untuk minum arak atau berkenduri-kendara dengannya, selagi tidak merosakkan pihak lain.

“Mereka boleh meminumnya secara seorangan atau secara berkumpulan sesama mereka di tempat mereka.

“Islam tidak menyekat hak bukan Islam untuk meminum arak di tempat mereka. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan boleh mengawal selia majlis arak mereka dan jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang maka mereka boleh diambil tindakan.

“Itulah tindakan yang telah dilakukan oleh DBKL dalam mengatasi isu pesta arak ini,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, beliau turut berpandangan sekiranya memberi kelonggaran kepada orang bukan Islam untuk meminum arak tidak sedikit pun menunjukkan umat Islam menggadaikan maruah Islam.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah berdakwah dengan penuh toleransi dan berhikmah kepada mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette