KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini mengajar ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim mengenai hukum hakam agama Islam dalam isu pengharaman penganjuran pesta arak Better Beer Festival 2017 (BBF17).
Menurut bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama itu, meminum arak adalah sesuatu yang haram manalaka konsep berpoligami pula halal di sisi Islam.
“Zaid mungkin tak kenal halal haram. Arak tu haram. Berpoligami itu halal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairuddin berkata demikian merujuk kepada kenyataan bekas menteri itu hari ini yang mengaitkan arak dengan hukum poligami.
Zaid berkata; “Yang bantah pesta ini kumpulan yang sama. Mereka tak mahu pesta, hiburan, tak mahu nyanyian.
“Isteri dua tiga boleh, lagi muda lagi baik,” kata Zaid di dalam Facebooknya.
Justeru, Khairuddin mempersoalkan tindakan Zaid dengan mengaitkan konsep poligami dengan penentangan terhadap pesta arak oleh Pas sebelum ini.
“Itu kenyataan paling bodoh daripada seorang bekas menteri yang faham undang-undang.
“Pas menentang pesta arak kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat muslim yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, bukan menentang hak bukan Islam minum arak,” katanya.
Semalam, Khairuddin berkata, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menolak permohonan penganjuran pesta arak BBF17 perlu dijadikan peringatan kepada mana-mana penganjur.
Langkah itu katanya telah membawa aspirasi rakyat Malaysia yang menolak penganjuran pesta tidak bermoral dan merosakkan rakyat.
BBF17 merupakan acara tahunan sejak 2012 itu diuar-uarkan sebagai The Biggest Celebration of the Craft Beer Revolution in Malaysia.
Pesta arak itu bukan sahaja dipromosi melalui iklan secara terbuka, malah dihebahkan bakal menyediakan hidangan 250 jenis arak keluaran 43 syarikat dari 12 negara dengan sasaran penyertaan 6,000 pengunjung. -MalaysiaGazette.