PULAU PINANG – Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mengingatkan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP agar tidak menyalahkan cuaca setiap kali berlakunya banjir kilat.

Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyedari semakin banyak kawasan yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini, kini dinaiki air setiap kali berlaku hujan lebat.

“Saya berpendapat bencana ada kaitan dengan pembangunan hartanah, penarahan kawasan bukit dan lereng bukit yang tidak terkawal serta penambakan laut.

“Dulu pun berlaku banjir kilat, tapi sekarang banjir kilat lebih kerap berlaku. Kini setiap kali awan hitam di langit, rakyat Pulau Pinang menjadi gusar dan khuatir banjir kilat akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang menyambut baik saranan kerajaan negeri agar kerajaan pusat bekerjasama dalam menyelesaikan masalah banjir di negeri itu khususnya di Lembangan Sungai Pinang.

Menurutnya kerajaan persekutuan tidak pernah menghentikan sebarang peruntukan untuk projek kawalan dan rancangan tebatan banjir (RTB) di negeri pembangkang itu.

Kerajaan persekutuan membelanjakan RM2 bilion untuk projek kawalan banjir di Pulau Pinang menerusi Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10 sebanyak RM1.493 bilion termasuk RM34 juta untuk pembersihan dan rawatan air Sungai Pinang, manakala peruntukan RM404.5 juta menerusi RMK-11.

“Peruntukan RM150 juta untuk Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang juga diluluskan pada November 2016 dan saya nak tanya berapakah jumlah wang yang dibelanjakan kerajaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengatasi masalah banjir sejak DAP memerintah pada 2008,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memerlukan Pelan Induk Pencegahan Banjir lebih daripada Pelan Induk Pengangkutan kerana tidak berguna jika mereka membina jaringan jalan raya dan kemudahan pengangkutan darat jika jalan dan kenderaan sering tenggelam dalam banjir bila hujan lebat – MalaysiaGazette

Comments are closed.