Home Ekonomi Rizab Persekutuan kekalkan kadar faedah

Rizab Persekutuan kekalkan kadar faedah

Janet Yellen. foto Agensi

NEW YORK – Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengekalkan kadar faedah tetapi memberi isyarat akan berlaku satu kenaikan pada akhir tahun ini meskipun kadar inflasi rendah.

Unjuran ekonomi baharu menunjukkan 11 daripada 16 pegawai melihat tahap sesuai untuk kadar dana persekutuan, kadar faedah penanda aras bank pusat, berada dalam lingkungan antara 1.25 peratus dan 1.50 peratus pada akhir daripada 2017 atau 0.25 mata peratusan di atas paras semasa.

Ia juga menjangkakan akan mula menurunkan pegangan bon dan gadai janji yang disokong sekuriti berjumlah kira-kira AS$4.2 trilion pada tahun ini yang dibeli selepas krisis kewangan pada tahun 2008.

Hasil bon Amerika Syarikat naik, melonjakkan dolar Amerika selepas keputusan Rizab Persekutuan tetapi penanda aras indeks-indeks saham Amerika Syarikat mengalami perubahan kecil.

Penanda aras hasil nota Perbendaharaan Amerika Syarikat 10 tahun setakat ini naik 2.29 peratus, tertinggi sejak 8 Ogos lalu, turut menyokong harga-harga saham bank meningkat.

Dalam kenyataannya, Rizab Persekutusan berkata, pengangguran yang rendah, pertumbuhan dalam pelaburan perniagaan dan peluasan ekonomi telah menjadi sederhana.

Ia menambah, risiko jangka pendek terhadap prospek ekonomi kekal “seimbang” dan akan terus memantau secara rapat kedudukan inflasi.

Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen berkata, kejatuhan inflasi masih kekal misteri tetapi Bank Pusat itu sudah bersedia untuk mengubah tinjauan kadar faedah jika diperlukan.

“Apa yang kita perlu fikirkan adalah sama ada faktor yang telah menurunkan inflasi mungkin membuktikan berterusan,” katanya. Sekiranya mereka melakukannya, “ia memerlukan perubahan dasar monetari,” kata Yellen.

Sementara prospek kadar faedah untuk tahun depan kekal tidak berubah dalam unjuran terkini Rizab Persekutuan dengan tiga kenaikan yang dijangkakan pada tahun 2018, bank pusat Amerika Syarikat memperlahankan kawalan monetari yang diunjurkan selepas itu.

Ia mengunjurkan hanya dua kenaikan pada tahun 2019 dan satu pada tahun 2020, lebih rendah berbanding unjuran jangka panjang kadar faedah neutral dari 3.0 peratus kepada 2.75 peratus, menggambarkan kebimbangan tentang keseluruhan tahap ekonomi. – MalaysiaGazette