Kim Jong-un

BEIJING – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang mendakwa Donald Trump ‘sakit mental’, memberi amaran akan bertindak di luar jangkaan Amerika Syarikat jika negara itu terus mengancam Pyongyang.

Kenyataan Jong-un itu dikeluarkan oleh agensi berita Korea Utara – secara peribadinya menentang ucapan Trump di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Selasa lalu.

Trump dalam ucapannya di persidangan dunia itu menggelar Jong-un sebagai ‘lelaki roket’ dan berikrar mahu menghapuskan Korea Utara untuk mempertahankan negara dan sekutu-sekutunya.

Jong-un mendakwa Trump cuba meningkatkan ketegangan Korea Utara-Amerika Syarikat, menurut kenyataan tersebut.

Beliau juga berkata, presiden itu sengaja mahu meningkatkan kebimbangan dunia.

“”Selepas mengambil alih jawatan, Trump telah menyebabkan dunia menjadi gelisah melalui ancaman dan peras ugut terhadap dunia.

“Dia (Trump) tidak layak memegang prerogatif perintah tertinggi sesebuah negara, dan beliau pastinya seorang penyangak dan gangster yang bermain dengan api, bukan seorang ahli politik,” kata Jong-un.

Tegas Jong-un, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Trump itu telah meyakinkannya bahawa pendekatan (program senjata) yang dipilih adalah betul dan perlu dipertahankan. – MalaysiaGazette