Samy Vellu
KUALA LUMPUR – Majlis Makan Malam Presiden MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini diserikan dengan majlis penghormatan kepada bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu yang dikurniakan dengan gelaran Tun.

Beliau yang memimpin MIC dari 1981 sehingga 2010 dikalungkan bunga malai oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC dan wakil MIC setiap negeri.

Samy Vellu yang juga merupakan Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur itu menerima darjah kebesaran itu bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 9 Sept lepas.

Beliau yang diiringi isteri Toh Puan Indrani Samy Vellu mendapat tepukan gemuruh setelah melangkah masuk ke dalam dewan dan seluruh anggota MIC berdiri bagi memberi penghormatan kepada beliau.

Ketika berucap, Dr Subramaniam berkata pengorbanan dan sumbangan Samy Vellu kepada masyarakat India di negara ini tidak boleh dipertikaikan dan harus dikenang sepanjang zaman.

Beliau berkata Samy Vellu merupakan satu-satunya presiden yang memimpin parti kaum India itu bagi tempoh yang lama iaitu 31 tahun.

Dr Subramaniam yang juga merupakan Menteri Kesihatan berkata jasa Samy Vellu dalam bidang prasarana negara terutama pembinaan jalan dan lebuh raya utama negara adalah begitu besar dan sentiasa tercatat dalam sejarah negara.

Dr Subramaniam juga mengakui beliau kagum dengan Samy Vellu yang masih kelihatan aktif dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat India pada usia 81 tahun.

Samy Vellu juga adalah antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet bermula sebagai Menteri Kerja Raya dan Utiliti pada tahun 1979 sehingga 2008.

Seramai 4,000 anggota MIC termasuk 1,500 perwakilan diraikan dalam acara tradisi parti yang dianjurkan Dr Subramaniam yang diadakan sempena Perhimpunan Agung MIC ke-71 bermula hari ini.

Majlis yang dijamu dengan pelbagai makanan itu turut meriah dengan persembahan nyanyian dan tarian artis tempatan.- BERNAMA