Foto Facebook Terengganu FA

KUALA LUMPUR – Pendahulu Liga Perdana, Kuala Lumpur dan Terengganu layak beraksi dalam Liga Super musim depan setelah mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing pada aksi ke-21 malam semalam.

Kedua-dua pasukan berkongsi 47 mata namun Kuala Lumpur kekal mengungguli carta Liga Perdana menerusi perbezaan jaringan dengan baki satu perlawanan.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kuala Lumpur menewaskan Sabah 2-0 dengan kedua-dua gol disempurnakan penjaring terbanyak Liga Perdana, Guilherme de Paula pada minit ke-14 dan ke-55.

Pesaing terdekat, Terengganu turut mengesahkan tiket ke Liga Super musim depan setelah menang selesa 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-19, Tchetche Hermann Brice Kipre (minit ke-35) dan Issey Nakajima-Farran (minit ke-57).

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan Negeri Sembilan turut meraih tiga mata penuh setelah menang tipis 1-0 ke atas UiTM FC hasil jaringan Lee Andrew Tuck seawal minit keenam perlawanan.

Dalam pada itu, ketiadaan seorang pemain akibat dilayangkan kad merah tidak menjejaskan rentak pasukan Johor  Darul Ta’zim II (JDT II) yang berpesta gol membenam pasukan tercorot, Perlis 5-1 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

Pemain JDT II, Mohd Hariz Kamarudin diperintah keluar padang oleh pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir kerana mengutip kad kuning kedua pada minit ke-37.

Empat gol skuad Harimau Selatan dijaringkan Nicolas Alberto Fernandez pada minit kesembilan dan masa kecederaan babak kedua, Jeronimo Barrales (minit ke-70), Shafiq Shaharudin (minit ke-60) selain gol sendiri pemain Perlis, Muhammad Nasharizam Ab Rasid pada minit ke-42.

Perlis meraih gol sagu hati menerusi Mohd Zafuan Azeman pada minit ke-31.

Dua pasukan tercorot liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan MISC-Mifa pula berkongsi satu mata setelah seri 1-1 pada aksi di Stadium UiTM, Shah Alam.

ATM terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Faiz Ibrahim pada minit ke-58 sebelum Luiz Eduardo Purcino menyamakan kedudukan untuk MISC-Mifa setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82.

Satu lagi aksi Liga Perdana di antara wakil Pahang, Kuantan FA dan wakil Perak, PKNP FC akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Rabu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast