Muhamad Ruslan Yasin, 25, terpaksa menggunakan sampan untuk berulang-alik kerumahnya kerana jalan darat ditenggelami air ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette mengenai banjir di Tanah Merah, Kedah. foto IQBAL BASRI, 27 SEPTEMBER 2017

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah dan agensi-agensi terlibat berjaya menguruskan bencana banjir dengan cemerlang.

Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, walaupun bencana banjir kali ini tidak seburuk seperti pada tahun 2010, ia tetap menjejaskan ribuan penduduk yang terpaksa berpindah dan kerosakan harta benda serta pertanian.

“Pujian harus diberikan kepada kerajaan negeri yang telah membuat persiapan awal dengan mengarahkan setiap agensi kerajaan bersiap sedia bagi menghadapi banjir,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Syed Mohd. Johan, tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sendiri telah mengarahkan agensi bersiap sedia menghadapi situasi terburuk malahan beliau sering mengarahkan persiapan dipertingkatkan.

Menurut beliau, pengalaman banjir besar tahun 2010 juga telah mempersiapkan agensi seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perahanan Awam serta agensi serta NGO dalam menguruskan bencana.

“Pada kali ini jelas terlihat permuafakatan antara agensi berkenaan sehingga pengurusan bencana banjir ini sangat cemerlang.

“Hikmah utama di sebalik bencana kali ini menyaksikan semua pihak di negeri ini bermuafakat menghulur tangan meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir.

“Di sebalik bencana banjir yang berlaku, saya yakin disebaliknya terkandung hikmah yang sangat berharga buat kita rakyat Kedah.

“Banjir kali ini benar-benar menyatukan kita semua. Tidak kira sama ada pihak kerajaan negeri, agensi dan jabatan kerajaan, parti-parti politik, NGO-NGO di seluruh negeri sama-sama turun padang mendahulukan mangsa yang terjejas.

“Saya lihat perkara itu sebagai suatu yang sangat istimewa. Secara tidak langsung, kita sebenar mampu untuk bermuafakat, budaya ini wajar terus kita amalkan di Kedah,” ujarnya.

Menurut Syed Mohd. Johan, pujian juga harus diberikan kepada rakyat Kedah yang sabar dan tabah menghadapi musibah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast