KUALA LUMPUR- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjangkakan trajektori pertumbuhan industri pertanian meningkat sebanyak kadar 15 peratus tahun ini dipacu oleh penggunaan teknologi dan jentera baharu.

Pengarah Pusat Perancangan Strategik dan Pengurusan Inovasi, Dr. Rozhan Abu Dardak berkata, pengeluaran setiap tahun adalah meningkat dan industri berkenaan telah menyumbang lebih kurang RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas.

“Mekanisasi yang lebih maju akan membantu meningkatkan hasil, kapasiti dan produktiviti.

“Kita perlu mengubah industri ini di Malaysia daripada gaya intensif buruh konvensional dan menjadikannya sebuah industri yang berasaskan teknologi. Teknologi dan inovasi amat penting untuk perkembangan industri kerana bukan sahaja ini dapat membantu meningkatkan produktiviti, ia juga akan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh dalam industri ini.

“Sebelum ini, 10 hingga 50 pekerja diperlukan untuk mengerjakan satu hektar ladang. Dengan teknologi canggih, hanya satu atau dua orang pekerja diperlukan di sesetengah kawasan.

“Oleh itu, hubungan kami dengan pengeluar agri Itali sememangnya simbiotik,” katanya dalam satu kenyataan bersempena Forum Jentera Pertanian Itali-Malaysia yang dianjurkan oleh  Agensi Perdagangan Itali (ITA) dan Persekutuan Pengilang Jentera Pertanian Itali (FEDERUNACOMA) yang diadakan baru-baru ini

Memiliki kedudukan kedua di dunia sebagai pengeksport mesin dan peralatan pertanian, negara Itali kini memiliki lima peratus penguasaan pasaran daripada jumlah import Malaysia yang berjumlah 7 juta Euro menurut ITA.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Perdagangan Itali, Dr Samuele Portia berkata, industri pertanian di Itali telah berkembang dan mekanisasi merupakan faktor yang utama.

Mereka kini berada di peringkat memperlihat satu sistem yang dipanggil ‘pertanian ketepatan’ berbanding dengan pertanian tradisional.

“Teknologi dan inovasi yang lebih maju dilibatkan dalam ‘pertanian tepat’ dan sebagai hasil pemodenan, pengurusan tanaman telah menjadi lebih mudah. Tuntasnya, seseorang bukan sahaja dapat meningkatkan hasil, tetapi juga dapat mengelakkan pembaziran air, tenaga dan sumber,” kata Dr. Samuele.- MalaysiaGazette