Bekas pensyarah kerugian RM1,8777,000 selepas ditipu oleh seorang yang mendakwa dirinya Pegawai Telekom Malaysia’ (TM).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Berhad (Maybank) hari ini memberi amaran kepada pelanggannya agar berhati-hati dengan panggilan palsu daripada pemanggil tidak dikenali.

Dalam satu kenyataan, Maybank berkata ada kes pemanggil menyamar sebagai pihak berkuasa dengan memperdaya pelanggannya untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa.

“Pihak kami telah menerima beberapa laporan mengenai kes panggilan palsu daripada pemanggil yang menyamar sebagai pegawai polis di Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dari pelbagai negara.

“Sindiket ini digelar sebagai Macau Scam dan ia menggunakan taktik spoofing, satu kaedah khas pemalsuan nombor telefon untuk menipu mangsa mereka,” demikian menurut Maybank hari ini.

Justeru, semua pelanggan dinasihatkan agar berhati hati dengan taktik penipuan ini dan tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi mahupun perbankan kepada mana-mana individu tidak dikenali menerusi panggilan telefon.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lalu berkata sejumlah 694 kes penipuan melalui panggilan telefon atau Macau Scam membabitkan kerugian RM21.4 juta dilaporkan berlaku dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah.

Modus operadinya adalah dengan kaedah dengan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis, pegawai mahkamah atau pegawai dari syarikat pengutip hutang dalam modus operandinya. – MalaysiaGazette.