KUALA TERENGGANU – Himpunan Fastaqim 2.0 yang bermula hari ini mempunyai ramuan utama bakal menjadikan ia sebagai himpunan bermanfaat bukan sahaja kepada ahli Pas tetapi juga kepada semua lapisan masyarakat.
Juga dikenali sebagai Himpunan 200K (200,000 orang) yang akan berakhir lewat petang esok diserikan dengan pelbagai acara santai dan mesra keluarga.
Sesuai lokasinya di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus – himpunan mesra keluarga ini melibatkan aktiviti pantai dengan pelbagai acara dipertandingkan, di samping rehat minda menerusi dialog bersama selebriti.
Menurut Pengerusi Fastaqim 2.0, Nasrudin Hasan, orang ramai yang hadir, di samping menyertai dan menyaksikan pelbagai acara juga boleh beristrahat sambil menikmati keindahan suasana tepi pantai dengan membawa khemah kecil dan tikar masing-masing.
Justeru, katanya, peserta Fastaqim 2.0 dinasihatkan senantiasa tenang, ceria, gembira dan bersabar atas apa juga kesulitan yang dialami tanpa tekanan atau melakukan provokasi dan tindakan yang mencetuskan ketegangan.
“Semestinya tidak dibenarkan sama sekali membawa senjata atau peralatan tajam yang berisiko. Mudah-mudahan kemeriahan hari keluarga besar Fastaqim 2.0 ini tidak rosak oleh perkara tidak diingini,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat berkata, himpunan itu turut menyaksikan ikrar setia dan persiapan akhir jentera pilihanraya Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang.
Nasrudin menjangkakan kira-kira 200,000 ahli dan penyokong Pas seluruh negara bertemu di Pantai Tok Jembal, iaitu isyarat jelas parti itu di semua peringkat telah bersedia menghadapi PRU 14 dan bermaksud mahu membawa pulang tropi kemenangan.
“Fastaqim 2.0 ini akan diperkayakan dengan solat dan munajat perdana, memohon pertolongan serta kemenangan daripada Allah dan disempurnakan oleh ucapan motivasi serta amanat perjuangan oleh pucuk pimpinan parti.
“Pengarahan umum dan hala tuju asas akan terus diperteguhkan bersama Fastaqim 2.0 kelak melalui pidato pimpinan, di samping menjawab isu-isu semasa.
“Peserta Fastaqim 2.0 digalakkan membawa sejadah dan air mineral, juga payung dan baju hujan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya. – MalaysiaGazette