KUALA TERENGGANU – Seramai 82 wartawan dan jurugambar mendaftar dengan Sekretariat Fastaqim 2.0 untuk membuat liputan himpunan terbesar Pas bermula hari ini sehingga lewat malam esok.
Pengerusinya, Nasrudin Hasan berkata, mereka adalah dari 21 agensi media melibatkan cetak, elektronik dan atas talian.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada editor, wartawan dan jurugambar. Saya mengalu-alukan kehadiran rakan media sekalian dengan ucapan ahlan wa sahlan ke negeri Terengganu Darul Iman.
“Insya Allah, kami sedia membantu anda bagi memudahkan sebarang urusan sepanjang anda bertugas di program ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Menurut Nasrudin, kehadiran dan penglibatan rakan media menjadikan program itu lebih bermakna dengan rakaman pelbagai foto, audio dan video serta liputan meluas yang diberikan, justeru mesej yang disampaikan dapat diterima dan difahami oleh orang ramai di negara ini. – MalaysiaGazette