Sumber: Facebook PPBM

KUALA LUMPUR – Desas desus menyatakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berselisih pendapat nyata tidak benar.

Terbaharu kedua-dua pemimpin tertinggi PPBM itu berseloroh kepada umum mengenai dakwaan bahawa mereka tidak sependapat.

Dalam satu entri Facebook rasmi PPBM, Muhyiddin bertanyakan mengenai dakwaan umum bahawa kedua-dua mereka bergaduh mengenai kepimpinan parti.

Dalam entri itu, Muhyiddin bertanyakan kepada Tun M:

“Tan Sri Muhyiddin : Mereka (Orang luar) kata kita bergaduh Tun?

“Tun Dr Mahathir : Sat gi (Sekejap lagi) nak bertumbuk la ni…Hahahaha,” demikian menurut Muhyiddin.

Kata-kata itu dizahirkan Muhyiddin dalam satu mesyuarat dengan Dr. Mahathir berkenaan isu-isu melibatkan parti dan perjalanan PPBM pada masa akan datang.

Ogos lalu, bekas Setiausaha PPBM Dungun, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, percanggahan arahan dan pendapat antara Dr Mahathir serta Muhyiddin adalah punca beliau dan ramai lagi ahli PPBM membuat keputusan untuk keluar daripada parti itu.

Kamarul berkata, Muhyiddin melarang ahli-ahli PPBM untuk berjumpa dengan Dr. Mahathir.

Ia atas alasan bekas perdana menteri itu hanya bertanggungjawab mempengerusikan mesyuarat. -MalaysiaGazette