Tan Sri Noh Omar.

KUANTAN – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat mewujudkan satu gelanggang futsal di setiap taman perumahan di bandar, kata Menterinya Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata kewujudan gelanggang futsal itu bukan hanya bagi menaikkan semangat warga kota untuk beriadah dan mengamalkan gaya hidup sihat tetapi bagi mengeratkan silaturahim antara penduduk.

“Saya mahu gelanggang futsal yang akan dibina bukan hanya sekadar gelanggang kosong, tetapi dibuat dengan sebaiknya seperti berbumbung dan ada lampu supaya anak muda juga boleh beriadah pada waktu malam.

“Gelanggang futsal yang saya anggarkan kosnya RM500,000 sebuah turut boleh dijadikan sebagai gelanggang serbaguna,” katanya pada Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan di sini malam tadi.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan turut dihadiri Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pengusaha Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), Datuk Azih Muda.- BERNAMA