KUALA LUMPUR – Kejayaan calon langsung membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya negeri Sarawak akan mendorong parti pemerintah itu menggunakan strategi seumpama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
China Press melaporkan, keadaan itu juga bermakna parti-parti komponen BN mungkin kehilangan kerusi yang secara tradisinya ditandingi mereka.
Dengan perkembangan itu, MCA juga mungkin kehilangan kerusi yang dipinjamkan kepada UMNO dalam pilihan raya umum yang lalu.
Daripada tiga kerusi yang dipinjamkan iaitu Kuantan, Wangsa Maju dan Gelang Patah, hanya Gelang Patah yang menunjukkan tanda cerah dipulangkan apabila Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan ia akan dipertandingi MCA.
Selain tiga kerusi tersebut, UMNO juga dilaporkan sedang mengintai Petaling Jaya Selatan dan Bandar Tun Razak yang terletak di Selangor dan Kuala Lumpur.
Kaedah calon langsung justeru mewujudkan kebimbangan dalam kalangan MCA, MIC dan Gerakan yang risau akan hilang hak bertanding di kerusi tertentu.
Dalam Pilihan Raya 2013, MCA menang tujuh daripada 37 kerusi yang ditandingi, MIC menang empat daripada sembilan kerusi, sementara Gerakan hanya menang satu daripada 11 kerusi.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menyatakan partinya akan bertanding di semua kerusi tradisinya manakala Gerakan bersedia untuk bertukar kerusi.
MCA pula mahu bertanding di 40 kerusi, termasuk tiga kerusi yang dipinjamkan kepada UMNO sebelum ini. Parti itu bagaimanapun menyatakan bahawa keputusan akhir terletak pada Dewan Tertinggi BN. – MalaysiaGazette