Halimah Yacob

SINGAPURA – Presiden Singapura, Halimah Yacob akan keluar daripada rumah pangsanya, di Yishun selepas menerima nasihat daripada agensi keselamatan yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan keselamatan beliau.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negara (MHA) berkata, selepas menilai pengaturan keselamatan dengan teliti, kementerian itu memaklumkan kepada Halimah bahawa ‘agensi keselamatan menghadapi pelbagai cabaran dalam memastikan keselamatan dan perlindungan beliau jika terus menetap di kediamannya kini’, lapor akhbar The Strait Times.

“Oleh itu, MHA menasihatkan Presiden untuk menimbang untuk berpindah ke tempat lain. Ini akan membolehkan agensi itu memastikan keselamatan beliau terjamin dengan jaminan keselamatan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Selepas diisytiharkan sebagai Presiden pada 13 September lalu, Halimah, 63, terus menetap di flatnya, menjadikannya sebagai ketua negara pertama Singapura tinggal di perumahan awam ketika menjawat jawatan.

Terdahulu Halimah memberitahu pemberita bahawa beliau berhasrat untuk menetap di situ semasa tempoh penggalnya.

Kediaman yang terletak di tingkat enam itu merupakan kediaman pertama Halimah dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee, 63, yang dibeli mereka sebaik sahaja mendirikan rumah tangga 30 tahun lalu.

Mereka kemudiannya membesarkan kediaman itu dengan menggabungkan unit empat bilik itu dengan flat lima bilik di sebelahnya yang mereka beli.

Halimah menyifatkan kediamannya sebagai ‘sangat baik, tempat yang selesa’. Beliau mempunyai dua orang anak lelaki dan tiga anak perempuan berumur antara 26 hingga 36 tahun.

Presiden sebelum ini tinggal di kediaman peribadi atau di Istana dan keputusan Halimah telah mencetuskan persoalan terhadap keselamatannya.

Sejak dipilih sebagai Presiden, polis telah meningkatkan langkah-langkah keselamatan di kawasan tersebut. – Agensi