Home Ekonomi Manjung 5 pastikan bekalan elektrik negara stabil

Manjung 5 pastikan bekalan elektrik negara stabil

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memastikan bekalan elektrik stabil dan mencukupi dengan beroperasinya loji jana kuasa arang batu, Manjung 5 (M5).

Selain menstabilkan Sistem Grid Nasional, M5 penting untuk menjana dan memacu pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Menteri KeTTHA, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, loji jana kuasa M5 ini menggunakan teknologi Ultra-Super Critical (USC) berkecekapan lebih tinggi berbanding loji konvensional sub-critical.

Kecekapan loji ini adalah dalam lingkungan 40 peratus berbanding 34 hingga 36 peratus bagi loji janakuasa konvensional sub-kritikal.

Menurutnya, loji janakuasa arang batu M5 itu telah dimula tugas pada tengah malam 28 September lalu.

Loji berkapasiti 1,000MW ini berjaya dimulatugas tiga hari lebih awal berbanding jadual ditetapkan di bawah Perjanjian Jual Beli Tenaga (PPA), iaitu pada 1 Oktober 2017.

Pelaksanaan projek M5 ini juga telah memberi peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat dan kontraktor-kontraktor tempatan dan bumiputera yang mana nilaiannya
mencecah RM1 bilion.

Menurutnya, projek M5 juga memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dengan hampir 1,200 pekerja tempatan terlibat semasa projek ini dibangunkan.

Sepanjang pembinaan projek M5, pertumbuhan perniagaan-perniagaan kecil juga berlaku dalam komuniti persekitaran sekali gus melahirkan usahawan-usahawan kecil dan sederhana.

Selain itu, pertumbuhan dan nilai hartanah di kawasan sekitar Projek M5 juga meningkat. – MalaysiaGazette