MEDAN – Pelakon, Khaaerryl Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy berhadapan dengan hukuman penjara 14 tahun atas dakwaan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 4.5 gram ke sini.

Pada hari Rabu, pihak pendakwaan di Mahkamah Medan memohon hukuman berkenaan dijatuhkan ke atas pelakon berusia 38 tahun itu kerana melanggar Undang-Undang Narkotik 209 di negara berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Mahkamah Medan, Wahyu Prasetyo Wibowo memberi tempoh seminggu kepada Benjy untuk mengemukakan hujahan bertulis bagi membela diri.

Benjy sekadar mengangguk tanda faham.

Selain itu, pendakwaan juga memohon agar Benjy membayar denda sejumlah Rp800 juta (RM250,944) atas kesalahan itu.

Terdahulu pelakon filem Baginda itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan pada 18 April dengan dadah yang disembunyikan dalam bahagian duburnya. – MalaysiaGazette