Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarahi jenazah usahawan terkenal Datuk Dr Maznah Hamid, yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO, yang meninggal dunia petang semalam. - foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarahi jenazah usahawan terkenal Datuk Dr Maznah Hamid, yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO, yang meninggal dunia petang semalam.

Najib, yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di kediaman Allahyarham di Ukay Heights, Ampang, di sini pada jam 1.10 tengah hari.

Perdana menteri dan isteri meluangkan masa kira-kira 20 minit menziarahi jenazah serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Najib, ketika ditemui pemberita, berkata Maznah merupakan seorang tokoh politik dan usahawan wanita yang telah berjaya menunjukkan kemampuannya terutama dari segi kepimpinan.

“Dalam politik misalnya beliau aktif di Jerlun, Kedah dan saya percaya beliau telah beri banyak sumbangan kepada perjuangan keusahawanan terutamanya yang melibatkan wanita. Ini kehilangan besar kerana beliau tokoh perjuangan wanita secara keseluruhannya,” katanya.

Arwah juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerlun, Kedah.

Sebelum itu, Allahyarham, yang juga pengerusi eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, dan dikenali sebagai ‘Iron Lady’ itu, pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Kedah dan Pengerusi Biro Pembangunan Usahawanan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Allahyarham, yang berasal dari Ayer Hitam, Kedah, meninggal dunia pada usia 62 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini 6 petang semalam setelah kritikal kira-kira lima hari akibat komplikasi pendarahan dalaman selepas pembedahan jantung, Jumaat lepas.

Solat jenazah dijangka berlangsung selepas solat Asar sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Raudhatul Sakinah, Taman Selasih. di sini selepas itu.

— BERNAMA