Azam Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR – Pengendali perkhidmatan bas henti-henti, Rapid KL membuat perubahan kecil untuk tiga laluan di kawasan Cheras untuk memanfaatkan pengguna di Taman Desa Aman, Taman Gemilang dan Taman Mutiara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Rapid Bus Sdn. Bhd., di sini hari ini, pelarasan untuk laluan-laluan bas 400, 401 dan 450, yang turut menjadikan Stesen MRT Taman Mutiara sebagai salah satu daripada perhentiannya, bermula pada 22 September lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Mohd Azam Omar berkata, ia dilaksanakan untuk meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan kepada penumpang.

“Secara peribadi, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, saya bersedia untuk melakukan apa jua ‘tweaking’ dan meluaskan kawasan perkhidmatan untuk memuaskan kehendak para pelanggan.

“Namun, kami mempunyai kekangan sendiri termasuk laluan-laluan yang tidak sesuai untuk perjalanan bas yang lancar, bilangan bas dan lapten bas yang kami ada serta perlu mengambil kira kepentingan para operator lain.

Disebabkan itu, semua permintaan perlu dibuat dengan teliti dengan menimbang semua faktor ini termasuk perbincangan dengan pihak berkuasa yang terlibat khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang mempunyai kuasa mutlak untuk  meluluskan apa juga perubahan, kawasan perkhidmatan dan tambahan laluan bas.

“Rapid Bus sentiasa bersikap terbuka untuk sebarang cadangan seperti saranan daripada para penduduk Taman Desa Aman, Taman Gemilang dan Taman Mutiara ini.

Tetapi, dalam kami membuat kajian terhadap saranan-saranan ini, saya berharap anda juga melihat perkara ini daripada perspektif kami,” tambahnya.

Sebelum ini, terdapat laporan media yang meyiarkan keluhan penduduk di kawasan perumahan Taman Desa Aman, Taman Gemilang dan Taman Mutiara Timur yang mengadu sukar mendapat bas khususnya ke Stesen LRT Taman Mutiara kerana ia menggunakan perkhidmatan bas perantara.- MalaysiaGazette