Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil tertanya-tanya samada langkah veteran DAP, Lim Kit Siang yang menerima Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan (PH) disebabkan muslihat tertentu.

Dalam satu kenyataan, Shahrizat berkata, sayap UMNO itu tidak percaya Kit Siang begitu mudah ‘melupakan’ permusuhan sengit beliau terhadap Mahathir yang kini bersama PH.

“Kit Siang juga mengambil langkah luar biasa sehinggakan sanggup bersetuju di atas pelantikan Tun M sebagai Pengerusi PH sedangkan Tun M bukanlah seorang ahli Parlimen.

“Rakyat ingin tahu apa muslihat sebenarnya Kit Siang membuat u-turn 360 darjah dan sanggup mengadakan pakatan dengan musuh utamanya Tun M,” katanya hari ini.

Justeru, Shahrizat mendesak Kit Siang membuktikan bahawa sokongan beliau terhadap Mahathir tidak bermotifkan politik semata-mata.

“Kit Siang perlu membuktikan sokongan terhadap Tun M ini bukan bermotifkan agenda politik peribadi beliau semata-mata,” katanya lagi.

Untuk rekod, sepanjang 22 tahun Mahathir memegang jawatan perdana menteri, Kit Siang adalah merupakan seteru politik yang lantang menentang beliau.

Sejak menyertai PH, Mahathir menjelaskan, beliau bekerjasama dengan Kit Siang kerana mereka berdua mempunyai pendirian yang sama untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Tatkala itu, Mahathir dan Kit Siang sering dilihat semeja bersama-sama kepimpinan PH yang lain dalam menghadapi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak. -MalaysiaGazette.

2 Komen

  1. buatt malu melayu islam bangkit perkara ni. tapi bila bernama umno perkara begitu jadi layak. dengki dendam. membatalkan islam tidak disedari.

Comments are closed.