Home Sukan KJ arah atlet pulang ke negeri masing-masing

KJ arah atlet pulang ke negeri masing-masing

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu semua atlet negara yang menyertai Sukan SEA  ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 baru-baru ini, pulang ke negeri masing-masing bagi memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara pada 14 Oktober ini.

“Semua negeri dan daerah akan mengadakan aktiviti dan saya telah mengarahkan semua atlet yang telibat dalam Kuala Lumpur 2017 (KL2017)  baru-baru ini untuk pulang ke negeri masing-masing memeriahkan sambutan peringkat negeri.

“Majlis perasmian kebangsaan akan diadakan di perkarangan Stadium Bukit Jalil pada 11 pagi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya selepas menghadiri Jalan Riang Ria Batik  2017 di Balai Seni Visual Negara di sini, hari ini.

Antara aktiviti pada hari perasmian itu ialah larian, kayuhan basikal, bola jaring, futsal, sukan tradisi dan beberapa aktiviti kecergasan.

Sambutan Hari Sukan Negara diadakan pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober, satu inisiatif ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’.

Mengenai isu doping pada KL2017 baru-baru ini, Khairy dengan tegas mahu kesemua atlet tidak terlibat dalam penyalahgunaan bahan-bahan terlarang yang ditetapkan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

“Jangan ambil doping, berapa banyak program lagi yang kita nak buat? Kita buat program setiap masa dan kami akan meneruskan program  itu (kesedaran mengenai doping),” katanya.

Dunia sukan tanah air dikejutkan dengan seorang atlet penerjun yang juga pemenang pingat emas KL2017, gagal ujian doping setelah sampel urinnya dikesan mengandungi dadah jenis sibutramine yang lazim ditemui dalam produk pelangsingan badan, sama seperti yang diambil oleh atlet wushu, Tai Cheau Xuen semasa Sukan Asia 2014 bagi menurunkan berat badan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali berkata, program Jalan Riang Ria Batik 2017 sejauh 3.8 kilometer itu mendapat sambutan di luar jangkaan tahun ini dengan penyertaan paling ramai sepanjang 15 tahun penganjurannya.

“Tahun lepas penyertaan adalah 2,800, tahun ini kita tidak sangka penyertaan sehingga 3,200 orang. Sebahagian peserta tahun ini mendaftar secara ‘walk-in’,” katanya mengenai program anjuran bersama Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) serta Kementerian Belia dan Sukan bagi mempromosi batik melalui sukan.

Leela berkata, kutipan daripada yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Penyayang Pesakit Kanser  melalui khidmat sokongan kepada pesakit kanser di Institut Kanser Negara dan Hospital Putrajaya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast