KUALA LUMPUR – Zairil Khir Johari hari ini melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berkuat kuasa serta merta.

Pengumuman keputusan perletakan jawatan oleh Zairil diambil berikutan pasukan Harimau Kumbang yang gagal untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Katanya, beliau dan pihak pengurusan FAP telah melakukan yang terdaya dan terbaik sepanjang mengemudi pasukan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super musim ini.

“Awalnya, kami membawa masuk jurulatih asing yang mempunyai rekod cemerlang.

“Apabila ia kemudiannya tidak membuahkan hasil, kami menukar strategi dengan menggantikan beliau dengan lagenda bola sepak tempatan, Zainal Abidin Hassan.

“Malangnya, nasib tetap tidak menyebelahi kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Pulau Pinang hari ini.

Zairil yang juga Ahli Parlime Bukit Bendera sebelum ini berdepan kritikan daripada peminat tegar Harimau Kumbang berikutan pretasi buruk pasukan itu yang kini menghuni tangga terakhir dalam Liga Super.

Dengan berbaki satu lagi perlawanan menentang Selangor, pasukan Pulau Pinang kini sah turun ke Liga Perdana musim depan selepas hanya memperoleh 12 mata daripada 22 perlawanan.

Dalam pada itu,Zairil menjelaskan bahawa beliau tetap berbangga sepanjang menerajui skuad FAP kerana berjaya menganjurkan beberapa program pembangunan akar umbi.

Antaranya kata Zairil, beliau berjaya mewujudkan pasukan bawah 16 tahun dan bawah 14 tahun untuk mewakili FAP.

“Pasukan bawah 16 tahun berjaya melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan JSSL Pro-7s di Singapura manakala pasukan bawah 14 tahun menjadi naib juara Piala Dunia Remaja Gothia di China,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette