KUALA LUMPUR – Akhirnya DAP mengalah juga dan bersetuju mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dibatalkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Walaupun pada dasarnya DAP tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mengakui terpaksa mengadakan pemilihan berkenaan November ini, iaitu lebih awal dari tarikh ditetapkan Mac tahun depan.
Beliau masih mempersoalkan arahan RoS yang mahu DAP mengadakan pemilihan semula CEC, yang disifatkan sebagai empat tahun ke belakang.
“Sepatutnya CEC ini diadakan pada Mac 2018 menggunakan senarai perwakilan baru, tapi dengan arahan RoS, kita terpaksa adakan November ini dengan menggunakan senarai perwakilan lama.
“Keputusan RoS ini menyebabkan pemilihan CEC kita lewat empat tahun lewat,” katanya.
Menurut Guan Eng, sikap berat sebelah pihak RoS yang memihak kepada ahli parti yang belot dan keluar parti menunjukkan agensi itu tidak profesional dalam menjalankan tugas.
Julai lalu, Ketua Pengarah RoS, Mohammad Razin Abdullah mengarahkan DAP supaya mengadakan pemilihan semula untuk jawatankuasa tertinggi pusat parti itu.
Ini berikutan 20 anggota CEC yang dipilih pada 29 September 2013 sebagai tidak sah dari segi undang-undang. – MalaysiaGazette