Perkasa, sebuah NGO yang datang ke Sabah untuk memperjuangkan hak kaum pribumi.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Sabah menyokong penuh kenyataan Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang menggesa kaum minoriti di negeri itu perlu bersyukur apa yang mereka ada sekarang.

Gesaan agar mereka tidak meminta-minta berlebihan juga wajar kerana kaum pribumi adalah golongan majoriti di Sabah dan masih jauh ketinggalan dari segi ekonomi.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Perkasa Sabah, Datuk Rekan Husin menyifatkan, tindakan MCA Sabah dan PKR negeri itu memutar belitkan kenyataan Dr. Ibrahim adalah sangat biadab.

“Kami minta mereka jangan cuba mengganggu perjuangan Perkasa untuk kaum pribumi Sabah. Kaum pribumi adalah kaum majoriti di negeri ini.

“Sepatutnya MCA Sabah perlu berasa malu kerana parti ini berasal dari Semenanjung. mereka datang untuk mendapatkan kuasa politik demi perjuangkan kaum Cina di negeri ini, sedangkan Perkasa hanya sebuah NGO yang datang untuk memperjuangkan hak kaum pribumi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Liew yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah dilaporkan menyeru kerajaan negeri supaya melarang  Ibrahim memasuki negeri itu bagi mengelakkan radikalisasi rakyat Sabah.

Kata Liew, langkah itu perlu bagi menjaga Sabah dan rakyat negeri itu dari ancaman radikalisasi oleh individu atau kumpulan seperti Perkasa.

Mengulas lanjut, Rekan meminta MCA Sabah membuktikan kepada kaum pribumi negeri itu, mana perjuangan parti berkenaan untuk pribumi Sabah.

“Buktikan kepada kami yang MCA perjuangkan untuk kaum pribumi Sabah. Mereka perlu ingat, ahli Perkasa Sabah mencecah 85,000 orang sekarang dan lebih ramai dari ahli MCA.

“Semua 25 kawasan Parlimen Sabah telah diwujudkan dengan jawatankuasa masing-masing. Majoriti pimpinan Perkasa Sabah adalah kaum pribumi pelbagai etnik, bukan majoriti kaum Melayu.

“Ahli kami termasuk yang beragama Kristian dan memegang jawatan penting dalam Perkasa di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya.

Katanya, pertubuhan itu akan terus bersuara memperjuangkan kepentingan kaum pribumi Sabah tidak kira apa juga latar belakang agama.

“Kalau mahu Perkasa diharamkan di Sabah, MCA juga wajar diharamkan, sebab MCA datang ke sini bukan hendak membantu kaum pribumi dan kaum majoriti Sabah,” ujarnya.

Mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Rekan memberitahu Liew, jika benar UEC diterima oleh kebanyakan universiti hebat di luar negara, beliau pergilah belajar di sana.

Tegasnya, Malaysia ada dasar serta Akta Pendidikan Negara dan semua pihak perlu akur dengan dasar ditetapkan dan Akta yang telah diluluskan.

“Jangan padang rendah dengan lulusan SPM. Selama ini berpuluh tahun sudah ratusan ribu pelajar Malaysia diterima masuk ke universiti luar negara termasuk 10 universiti terbaik dunia dengan kelulusan SPM sahaja

“Mereka yang tamat dan berkhidmat untuk negara dengan cemerlang sehingga Malaysia menjadi negara hebat dari kalangan negara membangun lain adalah yang berkelulusan SPM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast