
KUALA LUMPUR – Raja-raja mahu imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari dengan tindakan keterlaluan serta boleh memisahkan rakyat.
Penyimpan Mohon Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Raja-Raja Melayu bimbang tindakan individu tertentu bersifat keterlaluan yang dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
“Sejak kebelakangan ini, tindakan-tindakan oleh individu-individu tertentu yang bersifat keterlaluan, dibimbangkan boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum.
“Raja-Raja berpendirian bahawa isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam,” menurut kenyataan media Majlis Raja-Raja Melayu yang ditandatangani oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Syed Danial berkata, Raja-Raja Melayu amat menghargai pendirian tegas dizahirkan Sultan Johor mengenai isu ‘dobi untuk Muslim saja’ di Johor, juga pendirian dizahirkan Raja Muda Perlis dalam kes yang serupa di Perlis.
“Pendirian baginda berdua mencerminkan keprihatinan mengenai pentingnya umat Islam mengamalkan sikap toleran, sederhana dan inklusif dalam negara yang berbilang kaum dan agama,” katanya.
Syed Danial berkata, perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama merupakan komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia.
Dan selepas 60 tahun mencapai kemerdekaan adalah amat penting rakyat mengamalkan nilai masyarakat dan bernegara berpandukan prinsip terkandung dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Tegasnya, Rukun Negara harus menjadi kompas pedoman semua pihak sama pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette















