KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya berdepan lalu sukar dan berliku untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 apabila tewas 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi ketiga Kumpulan B Kelayakan Piala Asia di Stadium Hong Kong, malam tadi.

Keputusan itu merupakan kekalahan kedua setakat ini selepas turut tewas di tangan Lubnan selain seri dengan Hong Kong.

Malaysia kini kekal di tangga tercorot dengan satu mata.

Bagaimanapun peluang skuad kendalian Nelo Vingada belum tertutup apabila wajib memenangi tiga baki aksi selepas ini  untuk berdepan Lubnan dan Korea Utara bagi merebut dua tempat terbaik.

Pada masa sama, setiap pemain terlepas ganjaran RM30,000 yang dijanjikan  oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim jika berjaya menewaskan tuan rumah.

Pada perlawanan semalam, Vingada terpaksa menggunakan formasi 4-6-0 susulan kecederaan yang menimpa penyerang tunggal, Darren Lok serta Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Fauzi.

Harimau Malaya terpaksa menggunakan taktikal secara bertahan  dalam tempoh 30 minit pertama apabila berjaya menyerap asakan bertubi-tubi tuan rumah yang turut diperkuatkan dengan tiga tonggak naturalisasi baru.

Dalam pada itu, Malaysia turut dirundum malang apabila kapten Malaysia, Safiq Rahim dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Sri Lanka, Nivon Robesh Gamini selepas memijak pemain tuan rumah.
Kelebihan beraksi lebih seorang pemain digunakan sebaiknya anak buah Kim Pan Gon apabila berjaya mendahului menerusi tandukan Jorge Tarres Paramo pada minit ke-44 tanpa dicabar benteng pertahanan negara.
Bersambung babak kedua, kelekaan dua pertahanan Malaysia, Shahrom Kalam dan Khairul Helmi sekali lagi dihukum apabila Jaimes McKee mudah menanduk masuk pada minit ke-49 buat meletakkan tuan rumah ceria mendahului dua gol.

Skuad kebangsaan juga cuba bangkit memburu gol sepanjang babak kedua namun benteng Hong Kong kebal bertahan hingga wisel penamat. – MalaysiaGazette