Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. foto HAZROL ZAINAL, 10 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengatur dan mengolah semula dunia bola sepak tanah air dari peringkat akar umbi supaya mampu kembali bersaing dan menjadi nama tersohor di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, antara faktor perlu diberi perhatian adalah pandangan sesetengah ibu bapa yang mungkin tidak melihat kerjaya sebagai pemain bola sepak mempunyai masa depan dan tanggapan itu perlu ditukar.

“Kita juga perlu menyediakan platform untuk firma korporat turut melihat nilai dan pulangan dalam menaja bola sepak di Malaysia, sama ada pemain kita, kelab dan skuad kebangsaan di setiap peringkat umur, sebagaimana pelabur dan firma korporat gergasi antarabangsa yang menaja kelab besar di Eropah.

“Tajaan amat penting dalam memastikan kelestarian dan pembangunan bakat serta masa depan sukan,” katanya dalam catatan terbaharu di blog NajibRazak.com, malam tadi, bertajuk ‘Harimau Malaya akan bangkit semula’.

Untuk rekod, pasukan bola sepak negara tewas kepada Hong Kong 0-2 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, semalam.

Najib berkata, sistem pencarian bakat di peringkat akar umbi juga perlu diperkuatkan supaya dapat mencungkil bakat terpendam untuk masa depan.

“Kita perlu membangunkan, malah memberi nafas baharu kepada industri bola sepak secara keseluruhannya.

“Ia tidak boleh dicapai oleh kerajaan atau badan induk semata-mata, tetapi perlu juga mendapat input, sokongan dan kerjasama daripada peminat, badan korporat, pelabur, kepakaran daripada institusi sains sukan dan perubatan, akademi bola sepak awam dan swasta serta pihak berkaitan lain.

“Dalam erti kata lain, kita memerlukan anjakan paradigma atau “mentality shift‘ dalam kalangan penggiat sukan bola sepak tanah air.

“Semua ini mengambil masa, kita tidak akan mampu mencapai perubahan dalam masa yang singkat,” katanya.

Mengambil contoh pasukan bola sepak kegemaran beliau, Manchester United, Najib berkata, pasukan itu mengambil masa tujuh tahun selepas pelantikan Sir Alex Ferguson untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan 13 tahun sebelum memenangi Liga Juara-juara di peringkat kelab, malah di peringkat kebangsaan mengambil masa yang lebih lama.

“Kita perlu beri ruang dan masa kepada mereka yang bertanggungjawab untuk membina semula sukan bola sepak negara.

“Saya yakin penambahbaikan dan usaha yang sedang dilakukan FAM di bawah kendalian DYAM Tunku Mahkota Johor mampu membuahkan hasil,” katanya.

Beliau berkata, meskipun berbangga dengan kemenangan di Piala Suzuki 2010 dan pingat emas Sukan SEA 2011, perlu diakui bahawa sejak kebelakangan ini, prestasi pasukan negara agak suram dan tidak begitu konsisten.

Pada masa sama, Najib menyeru semua pihak yang terbabit, sama ada Kementerian Belia dan Sukan, akademi bola sepak awam mahu pun swasta, badan korporat serta peminat, untuk terus bekerja bersama-sama bagi mencapai matlamat dan impian sama dalam bola sepak.

“Kepada pemain kebangsaan, teruskan berusaha dan cuba lagi. Kegagalan sekali tidak bermakna gagal selamanya.

“Begitu juga dengan pemain di sekolah, akademi, akar umbi, teruskan berusaha dan sasarkan kejayaan. Saya dan semua rakyat Malaysia akan terus menyokong.

“Bola sepak memerlukan sokongan dan usaha bersama daripada kita semua untuk membawanya kembali ke persada, barulah Harimau Malaya akan bangkit semula!,” kata Najib. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast