Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sistem Self Monitoring Analytics Reporting Technology (SMART) Lokap oleh pihak MIMOS Berhad kepada PDRM di Tapak Pameran NICE, Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Penganjur Himpunan Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi yang dirancang di Petaling Jaya pada Sabtu ini berdepan tindakan undang-undang jika mereka ingkat arahan polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis tidak teragak-agak untuk bertindak ke atas mereka yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kita tahu 14 Oktober ini ada pihak parti politik (PPBM) ingin mengadakan satu perhimpunan di Petaling Jaya.

“Polis telah membuat penilaian dan pemantauan rapi di kawasan itu mendapati, kawasan berkenaan terlalu berhampiran dengan laluan keluar masuk Lebuh Raya Persekutuan.

“Kalaulah perhimpunan itu masih hendak diadakan, ikut rekod polis dalam perhimpunan lepas, ia telah menyebabkan kesesakan teramat teruk di kawasan itu dan mangsanya ialah penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil hari ini.

Tambah beliau, dengan mengambil kira kepentingan dan ketenteraman awam tidak terjejas, polis tidak membenarkan penganjuran  perhimpunan itu berlangsung di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette