Abd Zarin Mohd Yasin

KLANG – Penulis blog ‘Sang Kelembai’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya menggunakan aplikasi Facebook, Oktober tahun lepas.

Datuk Abd Zarin Mohd Yasin, 65, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Beliau didakwa secara sedar melakukan kesalahan itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang telah dibaca di pautan https://www.facebook.com/zahrinmohdyasin/posts/10207687390002554, kira-kira 9 malam pada 8 Okt lepas, di Taman Sri Putra, Sungai Buloh.

Abd Zarin yang juga Ketua UMNO Cawangan Sri Labuan, Bandar Tun Razak, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil “Zaharin Mohd Yasin” kira-kira 8.49 malam pada 8 Okt tahun lepas.

Jika sabit kesalahan, beliau yang didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.- BERNAMA