KUALA LUMPUR – Risikan yang diperoleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat kumpulan pengganas asing yang bergabung dengan kumpulan pengganas Daesh sama ada di Asia Tenggara atau global merancang melancarkan serangan di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kumpulan pengganas seperti Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan Jamaatul Mujahideen didapati mengarahkan anggota-anggota kumpulan mereka untuk menyusup masuk dan melancarkan serangan di negara ini.

Katanya, anasir-anasir Foreign Terrorist Fighter (FTF-Pejuang Pengganas Asing) lain yang menyusup masuk ke Malaysia sama ada untuk berlindung, mengumpul dana, melancarkan serangan di negara ini atau menjadikan Malaysia sebagai pengkalan operasi untuk melancarkan serangan ke atas negara ketiga.

“Berikutan itu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM menahan 45 Foreign Terrorist Fighter (FTF),” katanya dalam satu kenyataan.

Mereka terdiri daripada sembilan FTF yang disyaki terlibat dengan ASG, tiga disyaki terlibat kumpulan pengganas Fetullah Turki, seorang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan Daesh dan seorang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Jamaatul Mujahideen Bangladesh.

Baki 31 orang yang ditahan adalah FTF daripada pelbagai warga negara yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh termasuk tiga FTF warga Iraq yang merupakan komander kumpulan pengganas Daesh di selatan Iraq.

Kata Mohamad Fuzi, seramai 13 suspek telah dituduh di mahkamah di bawah Bab VIA – Kesalahan berkaitan dengan keganasan, kanun keseksaan dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 manakala 12 suspek telah diusir ke negara asal.

Selain itu, jelas beliau, seorang suspek telah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan 12 suspek masih lagi dalam siasatan. – MalaysiaGazette