Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KANGAR – Berdasarkan peranan penting Pergerakan Puteri UMNO dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), pergerakan akan menggiatkan lagi gerak kerjanya membantu rakyat, kata Ketuanya Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata pergerakan itu perlu terkehadapan sebagai penggerak jentera BN khususnya UMNO yang berhadapan dengan cabaran pembangkang yang dijangka lebih getir berbanding pada PRU13.

“Cogan kata ‘Puteri Peduli’ mesti dibuktikan bahawa Puteri UMNO mampu dan akan terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Pergerakan Puteri UMNO Perlis di sini, malam tadi. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mas Ermieyati berkata Puteri UMNO juga akan mempertingkatkan usaha mendaftar anggotanya yang telah mencapai umur layak untuk mendaftar sebagai pemilih tetapi belum berbuat demikian.

“Kami perlu bergerak lebih pantas untuk membantu Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar hasrat memenangi dua pertiga kerusi Parlimen pada PRU14 tercapai,” katanya.

Beliau berkata di Perlis, hanya 863 orang daripada 5,918 anggota Puteri yang layak mengundi belum berdaftar sebagai pemilih.

Mas Ermieyati dalam program jelajah ke seluruh negara bermula di Kedah semalam sebelum ke Perlis dan dijadual ke Negeri Sembilan esok dan Melaka Isnin ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast