LONDON – Jurgen Klopp berpendapat dia akan tidak disukai peminat sekiranya mencontohi taktikal yang diterapkan oleh pengurus Manchester United, Jose Mourinho selepas pertemuan Liverpool dan Manchester United berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Liverpool jelas mendominasi seluruh perlawanan sementara United hanya menyaksikan percubaan Romelu Lukaku dari jarak dekat yang digagalkan oleh penjaga gol The Kop, Simon Mignolet pada minit ke-43.

Klopp yang memasuki tahun kedua bersama Liverpool yakin anak buahnya mampu meraih kemenangan sekiranya lebih bijak menggunakan peluang yang ada.

Malah dia menyifatkan Philippe Coutinho layak dianugerahkan penalti dalam babak kedua.

“Sukar untuk diperkatakan. Persembahan yang ditampilkan Liverpool layak menerima tiga mata. Kami beraksi lebih baik dan lebih bertenaga.

“United datang ke Anfield untuk mendapatkan satu mata dan mereka meraihnya sementara kami mahukan tiga mata tetapi gagal.

“Semua orang tahu bahawa sukar untuk mendapatkan kemenangan apabila pasukan elit seperti United bertahan dengan baik tetapi untuk insiden terhadap Coutinho, dia wajar dianugerahkan penalti.

“Saya tidak berhak untuk berasa kecewa tetapi amat pasti bahawa di Liverpool, kami tidak boleh bermain seperti itu (bertahan sepanjang perlawanan),” kata Klopp.

Dalam masa sama, pengendali dari Jerman itu tidak mahu berbicara tentang insiden antara Lukaku dan Dejan Lovren, selepas penyerang Belgium itu didakwa memijak kepala pertahanan tengah itu.

“Anda lebih mengetahui tentangnya. Terdapat 500 kamera di seluruh stadium. Ia sesuatu yang tidak dapat saya lihat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast