Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz (kanan) bersama wakil Dataran Merdeka, Mohd Akbal Setia (tengah) menampal plak logo sebagai gimik pelancaran Kad Kembara Lawatan Kuala Lumpur di Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menggelarkan suku kaum Bugis adalah lanun ditempelak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Secara sinis, Nazri berkata bagaimana pula dengan individu berketurunan Kerala, India yang pernah memerintah Malaysia selama 22 tahun.

“Kalau (keturunan) Kerala macam mana pula? Bugis masyarakat Nusantara juga. Kalau orang (keturunan Kerala).

“Janganlah (tabur isu) perkauman. Kalau kita menyanyi lagu Negaraku, Tanah Tumpah Darahku bermakna tidak kira warna kulit kita warna apa pun, maknanya tempat kita dilahirkan maka dia berhak untuk menjadi rakyat Malaysia. Jangan ungkit (keturunan) seseorang,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Nazri merujuk kepada asal usul Dr. Mahathir yang didakwa daripada masyarakat Kerala, salah sebuah negeri di India.

Dr. Mahathir dalam ucapan penutup Himpunan Rakyat ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’, Sabtu lalu berkata: “Mungkin kerana dia berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis”.

Mahathir merujuk perkataan Bugis itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas mengenai itu, Nazri berkata rakyat tidak perlu ambil perhatian terhadap kata-kata bekas perdana menteri itu.

Malah katanya, individu berusia 92 itu seakan tidak belajar daripada pengalaman apabila mengheret isu perkauman dalam ucapan politik beliau.

“Apa hayat 92 tahun ajar kamu? Untuk jadi rasis? Jangan layan dia.

“Saya akan lawan rasis habis-habisan. Terutamanya bila kami sudah berusia 92 tahun,” katanya lagi.

Nazri dan Dr. Mahathir sebelum ini pernah bertegang leher berkaitan beberapa isu antaranya isu debat terbuka yang pernah beberapa kali tertangguh sebelum ini. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast