Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang berbincang dengan kerajaan supaya meneruskan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M).

Skim SP1M ini diwujudkan untuk membolehkan individu yang bekerja sendiri atau tidak mempunyai gaji bulanan yang tetap seperti pemandu teksi, peniaga kecil, petani, suri rumah
dan pekerja bebas serta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk mencarum ke dalam simpanan persaraan yang diuruskan oleh KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, KWSP memperkenalkan SP1M pada tahun 2010 berikutan peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang bekerja di sektor tidak formal dan tidak mempunyai simpanan yang mencukupi atau aset kewangan untuk menampung persaraan mereka.

Di bawah skim SP1M, individu boleh mencarum secara sukarela pada kadar minimum sebanyak RM50 hingga jumlah maksimum RM60,000 setahun.

Katanya, selain daripada dividen tahunan dan manfaat KWSP, kerajaan juga akan mencarum 10 peratus ke atas caruman tahunan dan tidak melebihi RM120 setahun sehingga hujung tahun ini untuk ahli berumur bawah 55 tahun.

“KWSP kini sedang dalam perbincangan dengan kerajaan untuk meneruskan manfaat ini,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Uber Malaysia (Uber) di sini.

MoU itu bagi menggalakkan pemandu-pemandu Uber menyimpan untuk masa depan persaraan mereka melalui SP1M.

Shahril berkata, sebagai ahli SP1M, pemandu Uber juga layak mendapat manfaat yang sama dengan ahli KWSP seperti memperoleh dividen tahunan ke atas simpanan serta menerima bantuan kematian sebanyak RM2,500 (mengikut terma dan syarat).

Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia mendedahkan bahawa dari 22 juta rakyat Malaysia yang bekerja, seramai 6.8 juta mencarum secara aktif dalam KWSP dan 1.7
juta dilindungi oleh skim pencen kerajaan.

Jumlah 13.7 juta selebihnya merangkumi individu yang berkerja sendiri atau bekerja bebas yang tidak dilindungi oleh mana-mana program perlindungan sosial negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast