Peter Bellew

PETALING JAYA – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Airlines Bhd., Peter Bellew mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pengerusi syarikat penerbangan tersebut pada 8 Oktober lalu.

“Surat tersebut telah dihantar tepat dua minggu daripada tarikh hari ini kepada Pengerusi Malaysia Airlines dan berita mengenai peletakan jawatan saya mula tersebar apabila akhbar UK Times menyiarkan satu berita mengenainya.

“Ryanair pula bertindak membuat pengumuman di Bursa London pada Selasa lalu.

“Mengapa Malaysia Airlines dan Khazanah tidak membuat pengumuman rasmi selepas menerima surat peletakan jawatan tersebut? Mungkin mereka masih berusaha dengan segala kuasa yang mereka ada untuk mempertahankan saya di syarikat ini.

“Lagi pula, pengerusi Malaysia Airlines yang membuatkan saya hadir di syarikat ini,” katanya semasa sidang media khas di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui belum menerima tawaran kerja daripada Ryanair semasa meletakkan jawatan tersebut.

Peter juga enggan menjawab soalan pemberita mengenai tarikh sebenar beliau menerima tawaran sebagai ketua pegawai operasi syarikat penerbangan tambang murah itu serta penalti yang perlu dibayar kepada majikannya kerana telah melanggar kontrak.

Kontrak lelaki berbangsa Irish itu sepatutnya tamat pada 31 Disember ini.

Sambil berulang kali menegaskan peletakan jawatannya hanyalah kerana mahu ‘balik kampung’ sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menuduh tindakannya itu adalah kerana campur tangan kerajaan dan Khazanah Nasional semasa menjalankan tugas.

“Tiada siapa yang berjumpa saya untuk memeriksa fakta sebelum membuat kenyataan. Saya pernah membuat kenyataan yang sama sebelum ini dan saya mahu jadikannya yang terakhir.

“Tiada campur tangan dari sesiapa sama ada kerajaan atau Khazanah Nasional. Sesiapa yang mengenali saya tahu bahawa saya susah hendak dengar cakap orang.

“Saya mendapat kerjasama yang baik di Malaysia dan satu-satunya sebab saya meninggalkan negara ini adalah kerana mahu balik kampung.

“Ryanair sedang tenat dan mereka perlukan saya. Sama seperti orang Malaysia sayangkan Malaysia Airlines dan mahukan ia terus menjadi kebanggaan negara, begitu jugalah saya,” tegasnya.

Menyentuh mengenai pelantikan Kapten Izham Ismail yang menggantikan tempatnya, Peter berkata, beliau adalah individu terbaik untuk menerajui Malaysia Airlines ketika ini.

Selain ‘orang dalam’, Izham juga, katanya, merupakan seorang yang berkarisma tinggi dan memahami selok-belok perniagaan dan operasi syarikat penerbangan itu terutama daripada segi penjimatan kos.

“Beliau (Kapten Izham) merupakan orang pertama yang saya jumpa di hari pertama menyertai Malaysia Airlines. Beliau sangat cekap dan disayangi oleh kakitangan kami. Saya rasa tiada masalah besar untuk Kapten Izham untuk menerajui Malaysia Airlines,” ujarnya.-MalaysiaGazette