Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KOTA BHARU – Pas tidak akan mencalonkan bekas naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar yang juga penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Mahfuz juga diminta keluar daripada Pas kerana tindakannya yang memberikan sokongan terbuka kepada Pakatan Harapan yang didalangi DAP.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya telah mempunyai calon bagi menggantikan Mahfuz.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, mana-mana wakil rakyat Pas yang menentang parti itu serta memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan juga tidak akan dicalonkan dlm pilihan raya umum akan datang.

“Saya beritahu terus terang, Mahfuz tidak akan bertanding lagi. Mereka yang menentang Pas tidak akan dicalonkan lagi.

“Itu pendirian kita. Kita akan ganti dengan calon yang lebih baik mengantikannya (Mahfuz) di Pokok Sena,” katanya.

Ketika ditanya adakah Pas akan mengambil tindakan termasuk memecat Mahfuz, Mohd. Amar secara sinis berkata, pihaknya tidak perlu berbuat demikian kerana Mahfuz terlalu kecil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ceramah umum 27 tahun Membangun Bersama Islam di Kampung Jejawi, Padang Tembak di sini malam tadi.

Sebelum ini, Mahfuz bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Pas iaitu Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd. Nasir Mustapa (Kubanh Rotan) dan Dr. Syed Azman Syed Nawawi (Batu Burok) hadir dalam Konvensyen Nasional 2017 PAN di Alor Setar, Kedah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.